11 October 2009

Tanaman Lada

Lada/Cili/Cabai/Lombok

Lada/Cili/Cabai atau Lombok adalah menjadi kegunaan untuk masakan, samaada dalam bentuk kering, jeruk atau putiknya. Lazimnya ada tiga jenis yang utama , iaitu cili burung atau cili api atau cili padi, cili besar (merah dan hijau) dan cili bulat. Pokok-pokok cili ini berasal dari Amerika Selatan Tropika dan kepulauan Hindia Barat.

Cili Api atau Capsicums minumam ialah jenis renek dan tumbuh setinggi 0.5 hingga 1 meter dan mempunyai banyak cabang-cabang yang rendang. Daunnya halus, berbentuk lembing dan bergagang panjang. Buahnya kecil, bujur tirus 1 hingga 2cm panjang.
Cili Besar atau Capsicums annum ialah jenis besar sedikit dari pokok cili api. Bentuk daun,bunga dan buahnya pun lebih besar iaitu 7.5cm. Terdapat dua jenis lada besar iaitu buah yang berwarna hijau(tetap hijau walaupun sudah masak) dan merah apabila ia masak sepenuhnya. Biasanya buah yang berwarna mereh yang terbanyak di negara kita.
Cili Bulat atau Capsicums grossum ialah jenis pendek. Biasanya bunga-bunga besar dan tumpul dan buahnya berwarna merah tetapi ia tidak pedas, dan mengandungi hanya beberapa biji sahaja di dalamnya. Buahnya lebih kurang 15cm panjang dan 7.5cm lebar digunakan untuk sayuran.
Antara ketiga-tiga jenis lada tersebut , jenis yang paling biasa di tanam dan diguna ialah jenis annum. Pokok cili jenis ini tumbuh dengan suburnya di tanah-tanah gembur hitam dan merah, tanah gembur lanar dan tanah laterit. Ia boleh tahan panas tetapi terlampau banyak air dimusim hujan akan membahayakan tumbesar.
Penyemaian biji-biji beneh dari buah yang baik dan cukup masak disemai dalam tapak semaian. Selepas 6 atau 7 minggu anak-anak beneh dialih ke ladang pada batas yang telah siap dibina. Jarak antara satu pokok dengan satu pokok lain ialah 0.5 meter hingga 0.7 meter. Selepas 30 hari berikutnya tumbuhan ini pun mulai berbunga. Buahnya dipungut mengikut keperluan. Jika dikehendaki untuk disayurkan atau untuk membuat jeruk maka buah-buah ini dipungut masa hijau, tetapi untuk membuat serbuk kari mestilah ditunggu sehingga cukup masak.
Jika di bawah kawalan sistem pengairan yang sempurna pokok-pokok cili ini boleh menghasilkan sehingga 500 - 1000 kilogram seekar, tetapi di bawah keadaan hujan biasanya hanya 100 - 400 kilogram seekar.




PANDUAN MENANAM CILI
Penyediaan Tanah
Di Ladang.
Gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm. Sediakan batas berukuran 1.2m x 22cm x 30cm. Panjang batas mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 45 cm. Gaulkan tahi ayam reput sebanyak 25 kg bagi 50 meter persegi kawasan.
Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Gunakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm dari permukaan pasu.
Menyedia Anak Benih.

Bagi tanaman di ladang, sediakan kotak semaian berukuran 45 cm x 22 cm x10 cm tinggi. Isikan kotak semaian dengan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir. Semai 5 gm biji benih ke dalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih dengan lapisan nipis tanah. Jarak tanaman ialah 5 cm antara baris dan 2 cm antara pokok. Siram dengan penyiram yang mempunyai semburan halus dua kali sehari. Kotak semaian mesti dilindungi daripada cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan. Ubah anak benih ke ladang 3 hingga 4 minggu selepas disemai. Sebelum diubah ke ladang, dedahkan anak benih kepada cahaya matahari selama 3 hingga 4 hari untuk mengeraskannya.
Menanam
Di Ladang
Anak benih yang berumur 6 minggu boleh diubah terus ke batas. Sebelum mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang digali. Kemudian, gali anak benih dengan segumpul tanah dan tanam terus ke batas. Jarak tanaman ialah 90 cm antara pokok dan 150 cm antara baris.
Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Semai terus 3 atau 4 biji benih ke dalam pasu sedalam 2 hingga 5 cm . Tinggalkan hanya sepokok setiap pasu 2 minggu selepas menanam.


PENJAGAAN
Menyiram
Siram pokok pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.
Membaja di ladang
Tabur baja NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok dengan kadar 1 sudu besar atau 10 gm sepokok setiap dua minggu.
Sungkupan
Di Ladang
Gunakan rumput-rumput kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan.
Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Gunakan rumput-rumput kering.
Merumput
Bersihkan batas daripada rumpai dengan menggunakan tanah, cangkul atau tajak. Bagi tanaman dalam pasu cabut rumpai untuk mengawalnya.
MEMUNGUT HASIL
Di Ladang
Cili boleh dipetik 8 minggu selepas diubah ke ladang. Pungutan hasil dibuat setiap 3 atau 4 hari. Anggaran hasil dari kawasan 20 m (500 kaki) persegi ialah 100-200 kg.
Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Mulalah memetik buah 12 minggu selepas ditanam. Anggaran hasil ialah 0.8 hingga 1.5 kg sepokok.

No comments:

Post a Comment